Followers

Monday, July 30, 2012

14 syarikat Malaysia terbaik di Asia Pasifik


Forbes Asia iktiraf firma bersaiz kecil, sederhana 

Kuala Lumpur: Sejumlah 14 syarikat Malaysia disenaraikan dalam kategori ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion’ Forbes Asia 2012 yang menyenaraikan 200 syarikat bersaiz kecil dan sederhana terbaik dari 15 negara Asia Pasifik.

Senaraian oleh majalah perniagaan terkemuka itu bagi mengiktiraf syarikat senaraian awam terbaik Asia Pasifik yang mencatatkan pendapatan tahunan antara AS$5 juta (RM15.8 juta) hingga AS$1 bilion (RM3.16 bilion).

Kepelbagaian dan dinamik syarikat berkenaan petanda baik bagi rantau itu terutama ketika ekonomi global tidak menentu”. - Tim Ferguson, Pengarang Forbes Asia
Turut diambilkira adalah pendapatan bersih yang positif dan didagangkan di pasaran saham lebih daripada setahun.

Syarikat Malaysia dalam senarai itu ialah Benalec Holdings Bhd; Boilermech Holdings Bhd; CBSA; Digistar Bhd; EA Holdings Bhd; Hartalega Holdings Bhd; M-Mode Bhd; MSM Malaysia Holdings Bhd; Mudajaya Group; SKP Resources Bhd; Tecnic Group Bhd; UEM Land Holdings Bhd; UOA Development Bhd dan Xingquan International Sport Holdings Bhd.

Tunjang ekonomi Asia

Mengulas perkembangan itu, Pengarang Forbes Asia, Tim Ferguson, berkata senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion’ Forbes itu, menunjukkan syarikat kecil dan sederhana terus menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi Asia. 

“Kepelbagaian dan dinamik syarikat berkenaan adalah petanda baik bagi rantau itu terutama ketika ekonomi global berada dalam keadaan tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 200 syarikat yang disenaraikan tahun ini, menjana pendapatan keseluruhan AS$47 bilion (RM148.4 bilion) dengan 370,000 kakitangan.

Mengikut industri, 23 syarikat adalah daripada sektor perkakasan dan peralatan teknologi, diikuti syarikat sektor perisian dan perkhidmatan.

Jumlah syarikat pembinaan meningkat kepada 20 syarikat berbanding 11 syarikat disenaraikan tahun lalu.

Syarikat yang terbabit dalam industri makanan, minuman dan tembakau juga mencatatkan peningkatan kepada 19 berbanding 10 syarikat sebelum ini.

Syarikat China dan Hong Kong menguasai senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion’ itu, dengan 72 syarikat disenarai bagi tahun ini, meningkat berbanding 65 syarikat tahun lalu.

India dan Taiwan pula tersenarai sebagai negara mempunyai bilangan syarikat terbanyak disenaraikan dengan masing-masing mencatatkan 23 syarikat.
Di kalangan negara ASEAN pula, Malaysia mendahului dengan bilangan syarikat paling banyak dalam senarai berkenaan.

Sejumlah 46 syarikat adalah pendatang baru dalam senarai itu, sementara 17 syarikat disenaraikan kembali selepas setahun dan 72 syarikat pernah disenaraikan sekurang-kurangnya sekali.

Source: Berita Harian


P/S: Boleh tahan bah Malaysia ni. Bangga sa :D


0 comments :

Template by:

Free Blog Templates