Ratu Rock Ella Finally Married


Ella sedia pikul tanggungjawab sebagai isteri Azhar

Tatap mata penuh romantis dan senyuman manis yang sentiasa terukir menterjemahkan kebahagiaan yang menghuni segenap ruang di hati kecil ratu rock, Norzila Aminuddin atau mesra disapa Ella apabila dirinya sah bergelar isteri kepada juruterbang, Azhar Hussaini Ghazali. Sembilan tahun berkenalan akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin. Dengan sekali lafaz, Ella, 46, sah menjadi isteri kepada Azhar, 32, tepat jam 10.40 malam pada upacara pernikahan penuh sederhana di kediaman orang tua penyanyi itu di Jalan Gelama, Telok Gadong, Klang. 
"Syukur dengan restu Allah, akhirnya kami bersatu sebagai suami isteri," kata Azhar selepas selesai upacara pernikahan.

Azhar berkata, dia dan isterinya pernah beberapa kali cuba untuk membawa hubungan itu ke satu fasa bermakna.

"Barangkali ketika itu kami belum matang dan tidak cukup ilmu, jadi niat suci itu cuma tersimpan tanpa ada tindakan lanjut. Tetapi kami berdua percaya pada kuasa Allah. Pertemuan kali ini membuatkan kami lebih yakin untuk memulakan sesuatu yang baru. 

"Ketika Tuhan membuka pintu hati saya untuk memperisterikan Ella, saya akur tidak perlu lagi bertangguh. Jujur sepanjang berkenalan, saya tidak pernah melamar Ella, sebaliknya suara hati dan hasrat murni itu saya sampaikan kepada ibunya. 
"Alhamdulillah, hubungan ini direstui dan keikhlasan itu akhirnya membawa kami ke jenjang pelamin," kata Azhar.
Biarpun mempunyai kedudukan istimewa di mata masyarakat, Azhar berkata, Ella tidak pernah berubah atau membiarkan dirinya lemas dalam pujian. Kesederhanaan yang sering dipertontonkan membuatkan dia yakin Ella sebagai pilihan yang tepat untuk disunting sebagai suri hidupnya.

Azhar berkata, mereka memiliki banyak persamaan yang membuatkan dia dan Ella serasi. Atas alasan itu, dia juga sudah bersedia untuk menelan pahit manis alam perkahwinan, apatah lagi dengan status Ella sebagai seorang penyanyi yang tidak lekang disapa gosip hangat.

Tak halang Ella nyanyi

Azhar yang tidak menghalang Ella meneruskan minatnya dalam nyanyian.

Menyentuh jarak usia mereka, Azhar berkata, jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah. Baginya, kunci kebahagiaan bukan terletak pada persamaan usia semata-mata.

Azhar sebaliknya percaya, persefahaman dan keserasian yang tercipta membuatkan dia akur kepada takdir yang tertulis untuk mereka berdua. 

"Jarak usia Rasulullah ketika menikahi isterinya, Siti Khadijah juga jauh berbeza. Tetapi mereka berjaya mempertahankan kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Saya bukan nabi, tetapi saya berusaha menjadi suami yang terbaik yang sentiasa memberi kebahagiaan kepada isterin," kata Azhar.

Sementara itu, Ella berkata, biarpun mendapat keizinan suami untuk meneruskan kerjaya, dia cuba membataskan aktiviti nyanyiannya kerana ingin memberi perhatian kepada rumah tangganya.

"Ella tahu banyak perubahan yang akan dilalui tetapi alhamdulillah kerana semuanya membawa ke arah positif. Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya dan itu yang akan Ella lakukan dengan menjadi pendamping setia kepada Azhar. Dalam apa juga hal, Ella akan mendahulukan suami," katanya.

Bersyukur kerana segala persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya terjawab dengan pernikahan mereka, Ella berkata, dia dan suaminya merancang untuk menunaikan haji di Makkah untuk mencari keberkatan kepada mahligai cinta mereka yang baru dibina itu.

"Itu niat Ella dan suami. Semua itu masih dalam perancangan kerana bergantung kepada jadual kerja suami. Insya-Allah, jika berjalan lancar, hasrat murni kami akan direstui," katanya.

Info 

Pernikahan Ella:

* Menggayakan rekaan Syaiful Baharim dan disolek kakaknya, Saidatulnisa Aminuddin.

* Dinikahkan Pendaftar Nikah Qariah Telok Gadong, Baharuddin Abu Bakar berwalikan abangnya, Mohd Norizam Aminuddin. 

* Pernikahan yang pada awalnya dijadualkan bermula jam 9 malam tertunda seketika apabila bekalan elektrik terputus. 

Menarik mengenai Azhar

* Lagu Jerat nyanyian Harvey Malaiholo menjadi lagu istimewa yang sering didedikasikan Azhar kepada Ella.

* Azhar juga berkebolehan dalam bidang muzik, malah pernah mencipta lagu dan diperdengarkan Ella

Comments

Anonymous said…
Finally kawin jg dia..
SteffianaJ said…
Iya :) Semoga Ella bahagia hingga ke anak cucu.

Popular posts from this blog

Contoh Soalan Q&A Pertandingan Unduk Ngadau

Darren Choy is not father of Daphne Iking's child